Halaman

Perginya Seorang Wira



Kuala Lumpur: Seorang anggota Batalion Malaysia 5 (MALBATT 5) terbunuh, manakala dua lagi cedera parah selepas trak tunda yang dinaiki untuk menunda sebuah kereta perisai hilang kawalan dan terbalik ke dalam gaung dekat bandar Haola, Lubnan, petang kelmarin.

Anggota yang terbunuh ialah Sarjan Rosdi Mohamad Zan, 32, manakala dua lagi yang cedera parah Lans Koperal Mohamad Aizuwan Atan, 26 dan pemandu trak tunda, Lans Koperal Nur Syahied Taib, 26.

Mereka sedang menunda kereta perisai Condor dari Kem Kawkaba ke Kem Tibnin apabila kenderaan itu hilang kawalan dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang waktu tempatan (10.40 malam waktu Malaysia).

Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, berkata anggota terbabit melaksanakan konvoi pergerakan pertukaran Kumpulan Force Protection (FP) yang turut membabitkan 41 anggota dan lapan buah kenderaan tentera pelbagai jenis di kawasan berbukit berhampiran bandar Haola.

“Rosdi yang juga Ketua Kenderaan terbunuh di tempat kejadian manakala Nur Syahied, diterbangkan ke Hospital St George, Beirut, selepas cedera parah pada bahagian paru-paru. Mohamad Aizuwan pula dikejarkan ke Hospital Tibnin, untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di Kementerian Pertahanan, semalam. Jenazah Rosdi dijangka dibawa pulang ke tanah air esok.

Arah siasatan

Ibu bapa Allahyarham juga dibawa ke Beirut untuk mengiringi jenazah pulang ke Malaysia.
“Warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedih dengan kejadian itu kerana kehilangan seorang ahli keluarga kami. Justeru, kami berharap keluarga mangsa sentiasa bersabar.

“Saya mengarahkan Lembaga Siasatan ATM menjalankan siasatan secara menyeluruh segera dengan memberi fokus kepada kenderaan kembalik (tran tunda) yang dinaiki semua mangsa,” katanya.

Sebelum menyertai Misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) Allahyarham Sarjan Rosdi, bertugas di Unit 2 Workhop, yang berpengkalan di Ipoh, Perak.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Aliza Ariffin, 30, serta tiga anak, Muhammad Syafiq Haiqal, 8; Nurul Fatin Najwa, 6 dan Nurul Damia Batrisya yang berusia tiga tahun.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kementerian sedang melakukan usaha terbaik untuk memastikan kebajikan keluarga Rosdi, terbela selain nasib Nur Syahied dan Mohamad Aizuwan terus dijaga selepas mereka mengalami cedera parah dalam insiden itu.

Beliau berkata, seluruh warga ATM sedih dengan kejadian itu dan menyifatkan kematian Rosdi satu kehilangan besar.

Berita Harian 25 Ogos 2013



Sedih dengar berita macam mcm saat2 tinggal lagi 2 bulan semua anggota nak balik Malaysia. Tapi dah ajal beliau sampai, tetap akan pergi jugak. Aku faham perasaan isteri arwah. Dalam menghitung hari nak tunggu suami tersayang balik, terpaksa menerima berita sedih ni.. Nak-nak lagi dalam bulan syawal. Berat berul dugaan ahli keluarga arwah.

10 bulan ditinggalkan akhirnya berita ni yang isteri beliau terima. Semoga Allah berikan kekuatan kepada ahli keluarga arwah. Sedih sangat rasa. Tak mampu nak ucap apa-apa.

Ya Allah, kau selamatkan suamiku serta semua anggota Malbatt5 dari sebarang bahaya dan selamatkanlah mereka pulang ke tanah air. Banyak insan-insan yang sedang menantikan kepulangan insan tersayang.

Marilah kita sedekahkan Al-Fatihah kepada arwah. Semoga rohnya dicucuri rahmat. Amin....


No comments:

Post a Comment