Bayi penuh dengan sikap ingin tahu. Bermain dengan bayi kecil perlu untuk membantu perkembangan fizikal dan mentalnya. Pada usia awal, otot leher anak masih belum cukup kuat.
 
Namun mencecah usia dua bulan, bayi sudah pandai menegakkan kepalanya sama ada dalam posisi berdiri atau duduk. Jika meniarap, anak boleh mengangkat kepalanya separa dengan badannya.
 
Permainan yang sesuai untuk anak anda ketika berusia dua bulan adalah bermain tunggang kuda. Bermain seolah-olah anak anda sedang menunggang kuda merupakan permainan yang mampu membentuk keseimbangan dan kekuatan tubuh badan anak anda.
 
Ia secara tidak langsung membina kepercayaan antara anda dan anak. Anda perlu meletakkan anak di atas lutut (anda duduk dengan kaki membengkok sedikit). Berikan dia sejenis mainan yang mengeluarkan bunyi untuk digenggam.
 
Mulakan nyanyian dan gerakan lutut seolah-olah si kecil sedang menunggang kuda. Lebih bagus jika anda iringi alunan muzik ketika menyanyi untuknya.
 
Buat mimik muka yang ceria atau melucukan kepadanya agar dia berasa gembira dengan aktiviti tersebut. Buat bunyi seperti ‘trit-trot-trit-trot’ seiring dengan gerakan turun naik kaki anda, ia bagi menggalakkan penguasaan pertuturannya.
 
Aktiviti ini akan menguatkan daya ingatan anak anda apabila kerap diulang-ulang.

Sumber : Majalah Pa&Ma