Najis yang dikeluarkan oleh bayi terutama yang baru lahir sangat penting untuk mengukur tahap kesihatan bayi tersebut. Sebagai ibu dan ayah baru, anda perlu memahami rupa najis bayi sebagai petunjuk anak adalah sihat. Najis bayi yang minum susu ibu sepenuhnya berbeza dengan bayi yang diberikan susu formula.
Najis bayi yang menyusu susu ibu
Biasanya bayi yang minum susu ibu akan mendapat kolostrum daripada susu
pertama ibu. Ia bertindak sebagai pencetus yang membantu menolak
mekonium keluar daripada badan bayi.
Setelah ibu menghasilkan susu dengan sempurna, iaitu selepas kira-kira
tiga hari, najis bayi akan berubah menjadi kuning cerah seperti biji
sawi dan baunya kemanis-manisan. Najis itu agak lembik tetapi
bertekstur, kadang-kala kelihatan berbiji-biji atau kelihatan berketul
seperti susu masam.
Pada minggu-minggu terawal, bayi anda akan membuang air besar semasa
atau selepas setiap kali menyusu, tetapi ini akan berkurangan dan dia
akan mempunyai rutinnya sendiri, selalunya membuang air besar pada masa
yang sama setiap hari.
Rutin ini akan berubah dari semasa ke semasa bergantung kepada situasi,
contohnya, rutin akan bertukar apabila anda mula memberinya makanan
pejal, apabila bayi kurang sihat, atau jika dia mula kurang menyusu.
Najis bayi minum susu formula
Najis bayi yang minum susu formula berwarna kuning pucat atau coklat
kekuningan, sisa susu formula akan menjadikannya kelihatan lebih besar
dan lebih terbentuk berbanding najis bayi yang diberikan susu badan. Ini
kerana susu formula tidak dapat dicernakan sepenuhnya berbanding susu
badan. Baunya juga lebih kuat, seakan-akan najis orang dewasa.
Biasanya, bayi yang diberikan susu formula perlu membuang air besar
sekali sehari untuk merasa selesa kerana najisnya lebih besar. Lebih
lama najis berada dalam usus, lebih keras ia akan jadi dan lebih sukar
untuk dikeluarkan sehingga boleh menyebabkan sembelit. Bincanglah dengan
pakar pediatrik anda jika anda rasa bayi anda mempunyai masalah ini.
Najis hijau
Kadang kala kita dapati si kecil membuang air besar yang berwarna hijau
dan berbuih. Ini kemungkinan bayi mengambil terlalu banyak laktosa
(gula asli yang terdapat dalam susu) yang boleh berlaku jika dia kerap
menyusu tetapi tidak mendapat susu lemak yang boleh mengenyangkan.
Kemungkinan ia disebabkan penyusuan yang berlebihan atau berkurangan,
atau ia adalah tanda bahawa terdapat kuman dalam perut bayi anda.
Pastikan bayi habis menghisap susu daripada sebelah payu dara sebelum
beralih ke payu dara yang satu lagi. Jika sakit perutnya masih tidak
sembuh dalam masa 24 jam, berundinglah dengan doktor anda untuk cuba
mencari punca masalahnya kerana ia mungkin disebabkan oleh kesensitifan
terhadap makanan, atau ubat yang diambilnya, ataupun rutin penyusuan.
Palitan darah
Palitan darah dalam najis bayi boleh berlaku jika dia sembelit kerana
proses peneranan semasa membuang air besar boleh menyebabkan rekahan
pada dubur. Sebaiknya anda mendapatkan pemeriksaan doktor untuk
memastikan ini adalah sebab sebenar dan tiada sebab-sebab lain.
Simptom-simptom cirit-birit termasuklah najis yang sangat cair dan kadang-kala dalam jumlah yang lebih banyak dan lebih kerap, dan ia akan memancut keluar dari punggung bayi anda.
Bayi yang diberikan susu badan kurang cenderung menghidap cirit-birit kerana susu badan membantu merencatkan mikroorganisma yang menjadi puncanya.
Bayi yang diberikan susu formula lebih cenderung mendapat jangkitan. Oleh itu adalah penting bagi anda mensterilkan peralatan dan mencuci tangan anda sekerap mungkin. Punca cirit-birit termasuk salah satu daripada yang berikut:
- jangkitan seperti gastroenteritis;
- mengambil terlalu banyak buah-buahan atau jus;
- mula tumbuh gigi;
- pengambilan ubat;
- kesensitifan atau alahan terhadap sesuatu makanan.
Cirit-birit biasanya sembuh tanpa rawatan dalam masa 24 jam, tetapi jika tidak, dapatkan pemeriksaan doktor. Para ibu selalunya beranggapan bahawa puncanya ialah susu formula bayi, tetapi sebelum menukar kepada jenama lain, bincanglah dengan doktor anda untuk memastikan tidak terdapat sebarang punca lain. Sembelit
Sembelit bukan setakat bayi anda terpaksa meneran semasa membuang air besar sehingga merah seluruh mukanya. Simptom-simptomnya termasuklah:
- kesukaran membuang air besar;
- najis yang berbentuk seperti batu-batu kecil yang kering;
- sakit perut;
- kejengkelan;
- kadang-kala terdapat darah pada najis yang mungkin disebabkan oleh rekahan pada dubur akibat pengeluaran najis yang keras.
Bayi yang diberi susu badan jarang mengalami masalah ini berbanding bayi yang diberi susu formula kerana susu ibu mengandungi kesemua nutrien yang diperlukan untuk mengekalkan kelembutan najis.
Jika bayi anda mengalami sembelit, bawalah dia berjumpa doktor, terutamanya jika terdapat darah dalam najis, supaya dapat diketahui puncanya.
Bagi bayi yang sudah mengambil makanan pejal, mungkin doktor akan menasihatkan anda supaya meningkatkan jumlah cecair dan serat dalam dietnya. Ini boleh dilakukan dengan memberikannya buah prun atau aprikot yang dikisar.
Sumber : Majalah Pa&Ma
No comments:
Post a Comment